Aktiviti Sepanjang Tahun..

BULETIN TERKINI:

DARI MEJA KPM:

Mar 25, 2012

Manja biar bertempat

dipetik dari Berita Harian

Dedah anak pendidikan rumah tangga

SENYUMAN lebar seorang ibu melihat kejayaan anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini, tiba-tiba menjadi hambar apabila si anak buat perangai tidak mahu dihantar ke sekolah berasrama.

Wati (bukan nama sebenar), puas memujuk anak perempuan tunggalnya untuk bertukar ke sekolah berasrama yang agak jauh dari rumah, namun si anak masih dengan pendiriannya untuk terus menetap di rumah.
“Kalau ikutkan hati, memang saya tak mahu berpisah dengan anak, tetapi keputusan ini saya buat demi kebaikannya,” kata ibu berusia 47 yang bekerja di sektor awam.
“Anak saya memang terlalu manja, saya dan suami sentiasa memenuhi setiap kehendaknya, cuma kali ini saya terpaksa bertegas.

“Tujuan saya menghantarnya ke sekolah berasrama kerana mahu dia berdikari.
“Selama ini, bajunya termasuk yang dalam, tak pernah dicuci sendiri, semua saya dan emak saudaranya yang uruskan.

“Kali ini saya hendak dia belajar mencuci baju sendiri dan merasai kehidupan yang memerlukan dia menyelesaikan sendiri setiap masalah yang dihadapinya,” jelas Wati kepada Kongsi Rasa.
“Sebelum sekolah dibuka, pihak pengurusan sekolah berasrama itu meminta saya menghantar anak lebih awal bagi tujuan orientasi.

“Selepas dihantar ke sekolah itu, setiap hari dia menelefon saya memberitahu rasa rindunya dan meminta saya dan suami kerap menjenguknya,” katanya.

Bagi memberi perangsang kepada anaknya untuk terus menetap di asrama, Wati dan suami berjanji untuk menjenguknya setiap hujung minggu.

“Setiap kali bertemu, banyak aduannya mengenai masalah di asrama. Dia merayu untuk kembali ke sekolah lama dan menetap di rumah.

“Saya dan suami memujuknya untuk terus bertahan dengan memberikan alasan yang boleh diterimanya iaitu demi kebaikannya sendiri.

“Sebagai ibu, saya terpaksa memujuk hati untuk menerima perpisahan sementara ini.

“Biarlah saya berkorban supaya kesilapan sebelum ini dapat diatasi menerusi didikan yang akan dilalui anak sepanjang tinggal di asrama,” katanya.

Menurut Wati, beliau berkahwin pada usia muda. Berbelas tahun juga beliau menunggu kelahiran zuriat.

Pelbagai proses rawatan dilalui untuk mendapat anak termasuk membuat pembedahan kecil di bahagian ovari.

Berkata kesabarannya, dia akhirnya mengandung dan melahirkan seorang bayi perempuan yang comel pada usia 32 tahun.

“Anak tunggal inilah penawar hati kami sekeluarga. Tanpa saya sedar didikan selama ini membuatkan dia menjadi anak yang manja dan tidak begitu pandai mengurus diri.

“Atas alasan ini saya begitu percaya dia akan berubah apabila tinggal di asrama,” jelas Wati.

Berbeza pula dengan seorang lagi ibu yang mahu dikenali sebagai Maizon yang mempunyai pendirian lain.

Maizon juga mempunyai anak tunggal perempuan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR.

“Kalau diikutkan keputusannya yang cemerlang, anak saya memang layak ke sekolah berasrama penuh, tapi saya tidak berminat untuk menghantarnya ke sekolah berasrama.

“Saya mahu dia terus menyambung pelajarannya di sekolah sama dekat rumah kerana mudah untuk saya memantaunya.

“Biarlah ruang yang kosong di sekolah berasrama penuh itu diisi oleh orang lain yang lebih memerlukan,” katanya.

Maizon lebih yakin anaknya lebih menyerlah dalam pelajarannya jika dia sendiri memberi tumpuan.

Sebagai ibu, dia mahu anak melalui zaman remaja di bawah pengawasannya sendiri.

Berbeza dengan Wati yang lambat dapat anak, Maizon pula mendapat anak pertama selepas beberapa tahun kahwin.

Selepas melahirkan anak sulung, tiada tanda dia akan hamil lagi.
Kini usianya lewat 30-an dan dia percaya anaknya itulah satu-satunya zuriat yang bakal meneruskan legasinya.

Maizon memang rapat dengan anak tunggalnya. Sebagai seorang pekerja di sektor swasta, Maizon juga meminta bantuan ibu yang tinggal berdekatan untuk menjaga anaknya.

Beliau bernasib baik kerana anaknya dibesarkan oleh ibunya sendiri.

“Cara ibu mendidik saya dulu, kini diperturunkan kepada anak. Walaupun tidak setegas dulu, tetapi anak saya mendapat bimbingan yang sempurna sebagai persediaan menjadi suri rumah.

“Dia tahu memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaiannya sendiri tanpa disuruh,” katanya.

Berdasar dua kes di atas, Kak Ani ingin membawa pembaca ruangan ini berfikir sejenak dilema yang dihadapi oleh ibu bekerja.

Mereka mempunyai tiga tanggungjawab penting iaitu sebagai wanita bekerja, ibu kepada anak dan juga suri kepada suami.

Sebagai ibu, kita tidak boleh lupa tanggungjawab mendidik anak. Walau bagaimana sayang sekali atau setinggi mana anak belajar, kita kena bawa mereka ke dapur.

Malangnya pada masa ini berapa ramai wanita yang sanggup berpeluh di dapur untuk menyediakan juadah buat keluarga, atau mungkin mereka sendiri tidak mempunyai ilmu memasak untuk diperturunkan kepada anak?

Kak Ani begitu gembira dengan semangat berlumba antara lelaki dan wanita untuk mengejar ilmu.

Namun wanita kena ingat, walaupun setinggi mana mereka belajar, sebagai wanita kita mempunyai tanggungjawab untuk menjadi ibu dan suri rumah.

Apabila mengingatkan hal ini teringat Kak Ani filem Musang Berjanggut, di mana P Ramlee yang memegang watak anak raja, Tun Nila Utama Raja Muda Puracendana, terpaksa merantau untuk mencari seorang perempuan untuk dijadikan isteri.

Kalaulah P Ramlee masih hidup, tentu dia tersenyum melihat kejayaan wanita dalam pelbagai bidang, tetapi pada masa sama, keningnya pasti berkerut melihat ramai pula yang tak kenal rempah ratus kerana terlalu terdedah kepada makanan segera.

Wanita tidak boleh berpuas hati dengan kerjaya yang mantap, sumber kewangan yang kukuh, sehingga mengetepikan soal makan minum keluarga.

Membeli di kedai dan memasak sendiri ada bezanya. Selain boleh berjimat cermat, makanan dimasak sendiri boleh mengikat perut suami.

Bagi suami pula, kalau sesekali makan di luar bolehlah diterima, tetapi kalau tak pernah rasa air tangan isteri, itulah punca rumah tangga berantakan.

Walaupun wanita itu pandai menjaga penampilan, tetapi tak jaga perut suami, ia juga petanda kegagalan wanita itu menjadi suri dalam rumah

No comments:

Post a Comment

class="fb-like" data-href="www.smkkemena.blogspot.com" data-send="true" data-width="450" data-show-faces="true">