Aktiviti Sepanjang Tahun..

BULETIN TERKINI:

DARI MEJA KPM:

Oct 11, 2011

Kementerian Pelajaran kaji keciciran murid



KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian bagi mengatasi masalah keciciran murid daripada sistem pendidikan negara pada masa depan.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kajian ‘Reaching The Unreached Children: Student Tracking System’ bertujuan menyediakan data murid tercicir daripada sistem pendidikan bagi murid warganegara, bukan warganegara dan tiada negara.
“Kajian itu dijangka siap pada akhir 2012. Kementerian yakin langkah itu dapat mengatasi keciciran murid di semua peringkat sekolah di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Loke bertanya mengenai jumlah pelajar tercicir daripada aliran sekolah rendah dan sekolah menengah mengikut pecahan kaum dari 2006 hingga 2010.
Wee berkata secara purata, keciciran murid daripada mengikuti sistem persekolahan di bawah Kementerian Pelajaran bagi tempoh 2006 hingga 2010 adalah pada kadar 1.32 peratus di peringkat sekolah rendah manakala 9.42 peratus di sekolah menengah berdasarkan perangkaan kementerian.
“Jika dilihat menerusi pecahan, keciciran murid mengikut jenis sekolah ialah 0.7 peratus bagi sekolah kebangsaan, 4.24 peratus bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan 1.41 peratus bagi sekolah jenis kebangsaan Tamil,” katanya.
Beliau menjelaskan tidak semua murid itu tercicir terus daripada mengikuti sistem persekolahan, sebaliknya sebahagian besar mereka meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran seperti sekolah swasta, sekolah agama rakyat, sekolah menengah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan madrasah.
“Sebagai contoh, data Kementerian Pelajaran pada Jun 2010 menunjukkan jumlah murid peringkat rendah dan menengah di sekolah swasta berjumlah kira-kira 140,000 orang. Jumlah itu tidak mengambil kira enrolmen di sekolah rendah dan menengah agama negeri berjumlah lebih kurang 56,000 orang murid dan di sekolah agama rakyat lebih kurang 36,000 orang murid,” katanya.
Menurutnya penguatkuasaan pendidikan wajib ke atas murid-murid untuk meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah belum dilaksanakan namun sekolah alternatif seperti program vokasional dan kemahiran disediakan untuk murid berminat meningkatkan peluang kemahiran.
Beliau berkata Kementerian Pelajaran terus berusaha mengatasi masalah keciciran termasuk menguat kuasa pendidikan wajib bagi murid-murid peringkat rendah yang dilaksanakan sejak 2003.
Selain itu, katanya kementerian memperkenalkan pelbagai insentif dan bantuan pendidikan kepada murid serta meningkatkan insfrastruktur asas di pedalaman dan pulau-pulau kecil seperti asrama atau pengangkutan ke sekolah.
Wee berkata Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir juga ditubuhkan di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran untuk membuat siasatan ke atas murid cicir di tempat masing-masing dan menyediakan laporan. — Bernama
http://www.theborneopost.com

No comments:

Post a Comment

class="fb-like" data-href="www.smkkemena.blogspot.com" data-send="true" data-width="450" data-show-faces="true">