Menanamkan tabiat mengeja yang baik di kalangan murid-murid adalah sesuatu yang penting kerana ia merupakan asas dalam penggunaan bahasa yang sempurna, kata Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran itu, selain menggalakkan kanak-kanak untuk meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan kefahaman, mengeja juga boleh menanam minat membaca sejak kecil.
"Oleh itu, penganjuran pertandingan mengeja ini menjadi penggalak bagi murid untuk meningkatkan keupayaan mengeja dan membaiki kefasihan bahasa Inggeris mereka dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang minat membaca," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Mengeja Kebangsaan CHAMPS 2011 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seramai 48 pelajar dari 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya terlibat dalam pertandingan mengeja perkataan bahasa Inggeris kali kelima yang terbuka kepada murid tahun empat hingga tahun enam itu.
Ia dianjurkan jenama multi vitamin kanak-kanak, CHAMPS bersama majalah Knowledge Discovery dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Ka Siong berkata, pertandingan tersebut memberi motivasi kepada murid untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan belajar untuk mengeja dengan betul.
"Pertandingan ini sejajar dengan matlamat KPM untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di kalangan murid di negara kita," katanya.
Tambah beliau, penguasaan bahasa Inggeris amat penting pada masa kini kerana ia merupakan elemen utama untuk anak-anak kita mengembangkan pengetahuan mereka di peringkat global.
"Saya sangat berpuas hati melihat program bahasa Inggeris yang secara tidak langsung mampu memperkukuhkan semangat 1Malaysia dalam diri anak-anak kita.
"Aktiviti kokurikulum seperti pertandingan mengeja ini juga telah menjadi elemen utama yang dapat menggalakkan budaya kerjasama antara para pelajar dan guru tanpa mengira perbezaan budaya dan agama," terang beliau.
Sementara itu, Pengarah Bahagian CCM Pharmaceuticals, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pertandingan tersebut menawarkan saluran terbaik kepada murid-murid bagi menguji kemahiran mengeja dan membaiki penguasaan bahasa Inggeris selain memperkuatkan keyakinan diri dalam menghadapai persaingan.
"Peserta perlu mempunyai ketekunan, disiplin dan juga keyakinan untuk naik ke pentas berdepan dengan penonton dan pesaing lain.
"Menerusi cabaran ini, kami berharap untuk menerapkan nilai dan tabiat yang baik di kalangan murid dan meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka sambil memberi permulaan yang baik dalam segala usaha mereka pada masa hadapan," katanya.
Tempat pertama pertandingan ini menjadi milik Wong Zhu Shi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang, Melaka yang membawa pulang sebuah Trofi Kejohanan, sijil, Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai RM1,000, pakej percutian, hamper CHAMPS, telefon bimbit, kamera digital, set alat tulis dan langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun.
Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik dua peserta dari Kuala Lumpur iaitu Yashin Kumar A/L Anil Kumar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Audrie Au Yue Min dari SJKC Taman Connaught.
Thanks for taking the time to discuss this, I feel strongly about it and love learning more on this topic. If possible, as you gain expertise, would you mind updating your blog with more information? It is extremely helpful for me.
ReplyDeletesmm providers